Belajar sembelih ikut syariat ...
Tidak ramai di kalangan generasi muda yang berpengetahuan dan berpengalaman melakukan sembelihan ternakan mengikut kaedah sebenar tuntutan Islam.
Justeru ramai yang bergantung harap kepada generasi tua kerana merasakan ia bukan suatu perkara yang penting untuk dilakukan sendiri.
Ini menyebabkan di sesetengah tempat semakin sukar dicari orang yang sanggup dan yakin melakukannya.
Sedangkan tuntutan mendapatkan makanan halal menjadi perkara penting di mana sahaja bagi setiap umat Islam kerana pemakanan adalah di antara ciri utama dalam pembentukan fizikal dan perkembangan minda.
Pengetahuan tepat serta menyeluruh mengenai kaedah penyembelihan yang mengikut lunas syariat amat penting kerana ia berkait rapat dengan faktor kesihatan.
Islam meletakkan garis panduan dalam penyembelihan haiwan agar dagingnya halal dimakan dengan kaedah terbaik dan bersih di samping dilakukan dengan rasa kasih sayang.
Ini mendorong penuntut Politeknik Seberang Perai mengikuti Kursus Sembelihan Halal anjuran Pusat Islam PSP.
Pegawai pusat islam iaitu, Ustaz Abdul Rahman berkata, kursus ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengetahuan asas kursus penyembelihan mengikut cara Islam yang sebenar serta memahami konsep sebenar pensyariatan ibadat tersebut.
Kursus ini menekankan betapa pentingnya mencapai tahap halal dari segala segi dalam kehidupan seorang Muslim bagi menjamin kesejahteraan dan kesinambungan umat Islam.
Kursus ini juga salah satu ilmu tambahan kepada penuntut, selain penekanan kepada pembelajaran di bilik kuliah yang sebelum ini menjadi keutamaan penuntut apabila menjejak kaki ke politeknik.
Jika di luar kampus, pengusaha sektor penternakan turut menjalani kursus seumpama ini bagi membolehkan mereka mendapatkan sijil halal bagi premis dan juga hasil keluarannya.
Kursus ini bukan sekadar teori tetapi para peserta juga diberi peluang membuat latihan praktikal, bagi mengelakkan timbul rasa sangsi sama ada haiwan yang disembelih itu halal dimakan atau tidak.
Sesetengah negara Barat yang prihatin dengan kebajikan haiwan telah menolak penggunaan sistem stunning yang disifatkan proses penyeksaan dan tekanan ke atas haiwan sebelum disembelih.
Barat baru sedar kesan tekanan yang ditanggung haiwan dalam proses tersebut dan pentingnya menjaga keselesaan haiwan semasa proses penyembelihan bagi menjamin daging berkualiti.
Sebahagian pelajar diajar cara - cara melakukan penyembelihan yang betul semasa mengikuti kursus sembelihan
\